BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Sunday, October 26, 2008

Berikut adalah transkrip penuh interbiu Agendadaily dengan Datuk Mukhriz Mahathir:

AGENDADAILY : Ada dikalangan orang UMNO sendiri dari generasi baru hingga veteran yang anggap Pemuda UMNO hari ini sudah tidak relevan dan semacam tidak berpijak di bumi nyata dalam ertikata menghayati perit jerih mereka di bawah. Para pemimpin Pemuda nampak macam bergaul dengan ahli dibawah mengikut musim dan diibaratkan mereka itu hanya 'akar yang hanya berguna semasa tiadanya rotan'. Apa pandangan dan bagaimana Datuk hendak menafikan hal ini?

MUKHRIZ : Saya pernah menyentuh perkara ini, kita seolah-olah menghadapi masalah mengurus kejayaan, maksud saya ialah bagi orang muda khususnya, di mana kita dilahirkan dalam keadaan yang agak senang berbanding dengan mak bapak nenek moyang kita dulu.Jadi kita tak rasa perit jerihnya berjuang untuk kemerdekaan, macamana rasa hidup susah dan sebagainya.

Tapi ini kita tak boleh persalahkan pada orang muda tersebut, sebab dah mereka dilahirkan dalam keadaan macam itu tapi yang pentingnya kita mahu supaya mereka faham bahawa nikmat yang mereka kecapi sekarang ini adalah hasil perjuangan orang terdahulu.
Ini penting, supaya kita ada kesinambungan dari segi perjalanan perjuangan itu dan kalau tidak ianya terhenti-henti dan menyebabkan generasi baru ini akan memulakan perjuangan baru yang tak ada kena mengena dengan yang asal. Saya rasa bukan cara yang elok.
Sebagai sebuah bangsa yang nak membangun, nak memperkasakan dirinya mesti ada hala tuju dan suatu perkara yang jarang terfikir ialah momentum.Momentum ini datangnya dari pada sejarah. Pemimpin terdahulu telah mempersiapkan satu momentum dan sepatutnya momentum ini semakin laju dan semakin jauh semakin laju dalam ertikata pencapaian kejayaannya.

Kalau pakai istilah dalam kereta, tukar gear, dari gear 1 ke gear 2 dan jadi sepatutnya kita dah masuk gear 3... dalam usaha kita untuk sampai ke satu peringkat contohnya dalam tahun 2020 kita nak jadi negara membangun.Jadi apa yang nak saya sampaikan disini ialah, kita tak boleh persalahkan orang muda kerana mungkin mereka tak cukup faham ataupun tak menghayati perjuangan orang sebelum ini yang telah mengharungi pelbagai macam cabaran.
Kita dah dilahirkan dalam keadaan yang senang berbandingkan dengan dulu. Tetapi ini subjek yang realitif kerana orang yang dah dilahirkan dalam keadaan ini tidak membandingkan dirinya dengan orang dulu tetapi membandingkan diri mereka dengan orang lain, mereka bandingkan dengan apa yang mereka lihat dan apa yang dinikmati oleh orang lain.
Realitivitinya, bagi golongan muda sendiri kadang-kadang rasa tak puas hati kerana keadaan diri mereka tak sebaik orang lain, disebab itulah, timbulnya ada masalah tak bersyukur, tak berterima kasih.

Kita nak tumpukan sekarang ini ialah untuk memberi harapan kepada orang muda bahawa masa depan mereka sendiri dan masa depan anak cucu mereka akan lebih baik daripada mereka, jadi hal ini yang mendorong mereka supaya melakukan apa yang kita nak mereka lakukan.Jadi orang muda mahukan sesuatu yang boleh beri harapan pada mereka, jadi sambil kita rasa resah ramai orang muda seolah-olah tak ingat pada sejarah tapi yang itu terletak di bahu pemimpin untuk ingatkan dan sedarkan generasi muda mengenai sejarah kita ini.
Bagaimanapun kehendak dan tuntutan generasi muda ini perlu dipenuhi kerana mereka mahu menikmati suasana masa depan yang cerah.

Sebenarnya, perlu diakui bahawa dalam Pemuda UMNO, perkara ini tidak dilakukan. Kita tidak ajar sejarah dalam Pemuda yang sepatutnya ada latihan.

Seingatan saya pada tahun 2005, lepas dipilih sebagai Exco Pemuda, Pemuda UMNO Malaysia telah anjurkan satu kursus untuk Exco Pemuda dan Ketua-Ketua Pemuda UMNO Negeri. Ianya satu program yang berjaya berlangsung di Bukit Tinggi dimana kita didedahkan dengan pelbagai pengalaman perjuangan UMNO dan perjuangan kemerdekaan terutama peranan orang Melayu.
Kerana berjayanya program itu, Datuk Seri Hishammuddin ada mencadangkan agar program itu dipanjangkan ke peringkat Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian tetapi ianya tidak dilakukan.
Kegagalan memberi imput sejarah bangsa Melayu kepada generasi muda ini telah menyumbang kepada keruntuhan fahaman orang muda khususnya Pemuda UMNO mengenai diri mereka dan dari mana mereka datang.

AGENDADAILY : Ramai pemimpin Pemuda itu sendiri semacam buta sejarah kerana dilahir dalam suasana kejayaan negara lepas merdeka tetapi kenapa mereka, setelah jadi pemimpin, mereka tidak memberi penekanan pada akar umbi, kalau ada pun bermusim kenapa harus bermusim dan kenapa ianya berlaku.

MUKHRIZ : Saya lihat ada bezanya ahli-ahli Pemuda di dalam bandar dan luar bandar terutama dari segi semangatnya.

Contohnya, ahli pemuda diluar bandar memang menghadapi tekanan dan kekangan tetapi bila kita sebut soal Dasar Ekonomi Baru (DEB), mereka akan mempertahankan kerana dasar itu merupakan satu-satunya dasar yang membantu mereka.

Tetapi mereka yang sudah dan sedang menikmati dengan kini berjawatan dengan gaji lumayan, ada yang jadi profesional dan berjaya...ramai diantara mereka yang mempersoalkan DEB, walhal sepatutnya mereka sedar bahawa kerana DEBlah mereka sedang menikmati atau mendapat faedah secara langsung dari kejayaan dasar itu.

Suka saya ingin sebutkan bahawa kita kena kembali kepada perjuangan asal parti yang datangnya dari ahli-ahli kita di peringkat akar umbi.Kalau ada dikalangan ahli-ahli parti yang berada di bandar mempersoalkan peripenting DEB, seeloknya mereka balik ke luar bandar dan tengok dengan matanya sendiri tentang keadaannya di sana.

Pada waktu yang sama, saya mengakui ramai ahli-ahli kita dalam bandar yang juga menghadapi pelbagai masalah dan cabaran dengan kos sara hidupnya yang semakin meningkat, kos pengangkutan dan sebagainya.

Walau bagaimanapun dalam bandar, masalah yang dihadapi kadang-kadang lebih teruk dari mereka di luar bandar tetapi ada diantara mereka memahami masalah yang kita hadapi dan sedia mempertahankan dasar-dasar kerajaan.

Tapi pemimpin pula mesti faham bahawa sebagai seorang yang memimpin dan kenalah faham apa masalah yang dihadapi oleh penyokong atau rakyat keseluruhannya dari akar umbi, saya ingat di dalam UMNO itu sendiri dan ini pun keluhan yang saya terima dari akar umbi mengenai pemimpin-pemimpin yang dia seolah-olah bila dia dah dapat jawatan tu tidak lagi mementingkan ahli tapi mementingkan diri.

Saya rasa hampa keadaan ini masih berlaku kerana UMNO dari dulu lagi di sokong kerana kitalah yang mencetuskan banyak dasar-dasar kerajaan yang membantu orang Melayu yang secara tak langsung sebenarnya membantu semua kaum.

Setiap kali perhimpunan agung UMNO akan ada cadangan-cadangan yang diantaranya memang yang bernas yang akhirnya dipakai oleh kerajaan dan membawa manafaat kepada orang Melayu khususnya dan rakyat Malaysia keseluruhannya.

Kebelakangan ini, nampak macam dah kurang perkara seperti ini, banyak perkara berbangkit adalah hal seperti pemberian AP dan sebagainya. Ini menjadi masalah kepada UMNO itu sendiri dari segi relevannya.

Satu lagi contoh dimana UMNO dilihat menjadi kurang relevan ialah di dalam mesyuarat cawangan UMNO, jangan kita fikir kerana ia di cawangan maka dia akan cerita pasal desak nak buat tiang lampu dan sebagainya saja, tidak...kalau kita dengar apa yang dibincang dalam mesyuarat agungnya pun mengenai isu-isu berunsur nasional iaitu mengenai sosial, pasal politik dan kerap kali bercerita mengenai ekonomi, masalah ekonomi orang Melayu susah nak cari makan walhal kos semakin meningkat dan sebagainya.

Jadi perkara-perkara yang diputuskan dalam mesyuarat ini akan dibawa ke bahagian biasanya Naib Ketua Bahagianlah yang akan kumpul...yang diberi mandat untuk bawa usul dalam mesyuarat bahagian dan kerapkali saya lihat apa yang berlaku ialah di situ sudah ada tapisan dimana keluhan dan rintihan di peringkat cawangan itu tidak diendahkan atau pun tidak sampai pun ke peringkat mesyuarat bahagian...jadi, isu-isu akar umbi yang sudah ditapis di peringkat bahagian lepas itu bila sampai di peringkat perhimpunan agung UMNO sekali lagi ditapis.
Ada banyak lagi isu-isu yang di tolak tanpa bahas atau pun ada isu-isu yang dibahas tapi di tolak juga padahal isu-isu ini dibangkitkan oleh akar umbi kita dan kita juga kadang-kadang terlupa bahawa kekuatan UMNO itu adalah di akar umbi dimana kononnya kita ini parti terbesar di dalam negara dengan keahlian yang terbanyak tapi pada waktu yang sama walaupun kita umum setiap kali perhimpunan agung, Setiausaha Agung akan umumkan keahlian kita sudah mencecah ke 3.5 juta orang tapi kita tak endahkan apa ahli kita dapat di peringkat cawangan jadi itu sekaligus menidakkan kekuatan kita.

Saya rasa kecewa bila itu berlaku dan saya harap akan ada perubahan dan salah satu perubahan saya nak minta kalau bolehlah kita tidak ada lagi syarat di mana Cikgu-Cikgu tidak boleh terlibat dalam politik kita.

Sebab, seingatan saya, dulu ahli dan pemimpin UMNO terdiri dari guru-guru dan kakitangan kerajaan gred A. Walhal mereka ini berada di seluruh negara, mereka juga memahami masalah sebenar-benarnya semua masalah di semua perigkat dan dilihat sebagai pemimpin masyarakat dan orang seperti ini yang sepatutnya menganggotai keahlian kita tapi kerana peraturan-peraturan tertentu kita tak benarkan mereka jadi saya ingat yang ini rugikan kita.
AGENDADAILY : Datuk ada menyentuh sedikit soal apa yang patut di bawa dalam mesyuarat agung untuk dibincang dan dibahas seterusnya diterima oleh parti untuk dilaksanakan oleh kerajaan tapi Datuk sedar tak bahawa apa yang diterima oleh kerajaan ini sebenarnya tidak sampai ke akar umbi malah tak terlaksana di bawah dan juga tak terlaksana di peringkat orang UMNO tu sendiri?

MUKHRIZ : Saya sedar perkara ini dan setiap kali kita di perhimpunan agung UMNO akan ada pembahas-pembahas kita yang begitu kecewa dengan keadaan dimana kadang-kadang itu di sentuh mengenai apa yang telah dipersetujui di dalam perhimpunan kita sebelum itu dan kenapa tidak di laksanakan atau ada yang dah jadi dasar tapi perlaksanaannya tidak baik...jadi saya kira kita kena ada pendekatan menjelaskan mengenai kenapa sesuatu dasar itu digubal dan kenapa perlaksanaan itu perlu di laksanakan sebaik mungkin.

Saya tak mahulah nak menuduh kakitangan kerajaan yang tidak menjalankan tugas dan sebagainya tapi saya kira mereka pun kena faham kenapa perlaksanaan itu penting.
Bagi kita, orang politik pulak nampak satu visi 'cycle' bila perlaksanaan tidak baik, biasanya kerajaan yang akan dituduh tidak menjalankan tugas, tidak amanah dan sebagainya.Akhirnya, orang politik juga yang dipersalahkan sebab itu kita senantiasa menyuarakan ketidakpuasan hati kita mengenai perkara ini.

Setiap kali kita berhimpun ada mesyuarat akan adalah suara-suara yang nyatakan bahawa politik mesti menguasai kerajaan dan saya nampak ini sebagai penting kerana kita buat dasar mesti ada objektif dan tujuannya. Kalau objektifnya tidak kesampaian jadi apa maknanya ada dasar itu.Ini yang kita nak terapkan tapi saya akui bahawa ada segelintir kecil yang menyalahgunakan kuasa hingga memburukkan nama orang politik sekaligus memburukkan nama UMNO itu sendiri. Dengan sebab itu kekadang agensi perlaksana kerajaan menggunakan alasan sebagai sebab kenapa dasar itu tidak dilaksanakan.

AGENDADAILY : Datuk nampak ada kekosongan, jadi kalau ada kekosongan itu adakah Datuk rasa Pemuda patut mengisi kekosongan itu?

MUKHRIZ : Sebelum saya meminta Pemuda meneruskan menegur orang lain apa kata kita mulakan dengan diri kita, kita muhasabah...kita tengok di mana ada kepincangan tertentu dan saya kira kita kena akui banyak kesilapan yang perlu diperbetulkan dulu. Ikut persepsi orang, kita sekarang ini dilihat sebagai tidak amanah, hingga ada yang mengatakan kita tidak ada akhlak yang mulia, tak cakap benar, tak ada sifat kepimpinan tidak tunjuk teladan yang baik, jadi semua ini, kita kena buat dulu, bila orang percaya baru mudah kita nak menegur orang dan nak membawa perubahan kepada mana-mana pihak yang perlukan perubahan ini.

Bagaimanapun perkara ini akan mengambil sedikit masa tapi kita kena mulakan dan sebab itu, saya tegaskan dalam pemilihan ini akan menentukan timbul atau tenggelamnya UMNO. Kalau rakyat melihat kita masih mengamalkan rasuah pollitik maka tak perlu cerita pasal perkara lain kerana mereka tak akan percaya pada kita dan kalau kita nak buat baik pun orang tak akan percaya.

AGENDADAILY : Selepas Datuk menang Exco Pemuda 2004, timbul persoalan mampukah pemimpin muda zaman IT, zaman maju ini turun mencemar 'duli' bersama akar umbi, ada pendapat kata pemimpin Pemuda UMNO sekarang beretorik tapi perkara ini sebenarnya hakikat. Soal agama, bangsa dan negara telah dijadikan pemanis mulut pemimpin padahal ianya memerlukan keringat serta mencurahkan peluh. Di Permatang Pauh, Pemuda dilihat gagal memenangi hati golongan pemuda akar umbi, kenapa kegagalan ini masih lagi berulang.

MUKHRIZ : Salah satu sebabnya diperingkat kepimpinan tertinggi, kita sebenarnya tidak letakkan jari kita pada 'nadi' UMNO, kita juga dilihat gagal memahami kedudukan kita sebenar.
Maksudnya, apakah kita faham atau tidak masalah yang dihadapi oleh rakyat, macamana kita nak faham kalau kita tidak bercakap dengan mereka jadi lebih baik seperti yang you sebut tadi, pergi tengok sendiri.

Saya bernasib baik kerana sebagai Ahli Parlimen, saya terdedah kepada perkara ini secara langsung depan mata...saya tengok dan setiap kali saya di kawasan, ramai yang datang bercakap mengenai masalah mereka di kawasan Jerlun, mereka adalah petani, mengadu hal soal pertanian...banyak masalah dan seolah-olah tak dapat diselesaikan kerana ianya melibatkan masalah yang terlalu lama. Tapi ianya perlu diselesaikan.

Ini adalah peranan orang politik untuk memahami masalah rakyat akar umbi secara dalaman dan menggunakan kreativiti sendiri ataupun mencari pakar-pakar yang boleh membantu, lakukan sesuatu kalau tidak apa gunanya kita menjadi Wakil Rakyat.

Itu Wakil Rakyat, tapi ahli politik pun mewakili rakyat juga, sepatutnya mereka melakukan perkara ini, kegagalan menangani masalah rakyat atau ahli parti kita mengakibatkan ketidakyakinan rakyat terhadap kita.

Kegagalan dan ketidakyakinan rakyat serta ahli parti adalah antara penyebab pengundi tidak menyebelahi kita pada pilihan raya lalu, jangan terkejut dengan keputusan rakyat ini kerana kita sendiri dalam keadaan sedar atau tidak telah gagal memenuhi amanah itu dengan baik...bukan salah rakyat.

Pandangan saya, rakyat sebenarnya, bukannya menyokong sangat pembangkang tetapi kerana marah pada Perdana Menteri dan UMNO, mereka nak mengajar kita...mereka bagi 'wake-up call' dulu dengan memangkah pembangkang tapi saya tahu rakyat yang berbuat demikian sedar bahawa pihak pembangkang pun tidak mampu menyelesaikan masalah ini.

Akhirnya rakyat akan berbalik kepada kita, tapi kita kena sedar...yang jadi masalahnya sekarang, kita tak cukup sedar lagi. Sebagai pemimpin, kita masih belum menepati citarasa dan aspirasi rakyat, jika ini berlanjutan kita akan terima padahnya dalam pilihan raya akan datang.
AGENDADAILY : Ada pandangan menganggap pada pilihan raya umum Mac 208, UMNO menang tapi parti komponen tidak menang, apa pandangan Datuk?

MUKHRIZ : Kalau itu benar, kenapa kita boleh kalah di Kedah. Di Kedah majoritinya Melayu, kita tidak pernah kalah di Kedah ini kali pertama kita tumbang satu negeri kita kalah, saya yang menang di Jerlun pun tak dapat nak meraikan kemenangan saya memandangkan ramai kawan-kawan saya yang tewas di negeri saya sendiri. Kalau nak dipersalahkan parti komponen, saya rasa di Kedah satu-satunya bukti bahawa ini tidak betul. Kedah macam Kelantan, majoritinya Melayu dan orang-orang Melayu yang kita rasa tak akan undi pembangkang walau PAS sekalipun. Kalau ada pun kemenangan itu tetap pihak kita tapi keputusan pilihan raya baru ini dah membuktikan itu dah bukan realitinya sekarang.

AGENDADAILY : Jadi macamana pulak yang beranggapan bahawa Barisan Nasional (BN) kalah di lima negeri pada 2008 tapi dijangka akan buat 'come back' pada PRU 13 nanti.

MUKHRIZ : Itu pun yang saya harapkan, tapi ianya tidak akan berlaku sendiri, saya pernah nyatakan sebelum ini dalam ucapan bahawa UMNO ini parti keramat, tapi keramatnya UMNO ini kerana ahli dan pemimpinnya.

Kalau ahli dan pemimpinnya tak lakukan perkara yang membawa keramat kepada parti maka tak keramatlah parti kita ini.

Jangan kita ambil mudah mengenai hal ini dengan letakkan parti kita 'keramat' maka sokongan itu akan balik kepada kita, dengan harapan kelemahan dan kesilapan pihak pembangkang akan jadi pembangkang lebih teruk dan gagal mendapatkan sokongan seterusnya, itu bukan caranya...kita kena usaha gigih menyakinkan balik rakyat terhadap kita...bagaimana kita nak membantu kalau tidak dengan buat kerja lebih elok, bersihkan diri dan kemudian usahakan serta buktikan kepada rakyat bahawa kita sentiasa mementingkan rakyat.

AGENDADAILY : Sebagai generasi muda, Datuk bercakap soal parti keramat, sejauhmana Datuk faham soal parti 'keramat' dan apa yang 'keramat'nya UMNO ini?

MUKHRIZ : Keramatnya UMNO ialah kerana ahlinya. Ahlinya akan membawa keramat kepada parti apabila dilihat pemimpin-pemimpin parti itu betul-betul sedia berkorban dan berjuang untuk rakyat. Itu yang membawa keramat kepada parti, kalau tidak kerana ahlinya parti itu kosong ia tidak ada apa-apa.

Tapi kita bernasib baik kerana kita selama ini mempunyai pemimpin yang berwibawa yang berwawasan yang telah memimpin kita ke tahap yang lebih tinggi berbandingkan dengan negara-negara yang telah merdeka sama waktu dengan kita dulu, itu satu perkara yang patut kita banggakan, sebab itu saya mahu hala tuju dan momentum itu diteruskan.

AGENDADAILY : Saya ada satu pandangan soal keramat ini, 'keramat' ini adalah kerana berlakunya amalan, jadi adakah benar UMNO keramat kerana amalan pemimpinnya yang mengamalkan sesuatu yang baik, bermakna pemimpin amalkan 'serve' ahli-ahli dia...sekarang UMNO dah kurang 'keramat' kerana pemimpinnya dah tak hiraukan ahli-ahlinya.

MUKHRIZ : Itulah apa yang saya nampak pun...iaitu kita dah terpesong dari landasan serta tujuan asal di mana wujudnya kita (pemimpin atasan) ini dari sokongan akar umbi, sebab itu kita diberi jawatan di dalam parti tapi bila kita dah dapat kita pecah amanah kita.Ramai fikirkan diri sendiri sahaja, kita tidak betul-betul berkhidmat untuk ahli dan rakyat...mungkin ada masalah dari sistemnya.

Dalam politik demokrasi dan kepimpinan, lazimnya untuk kita mendapat jawatan kita mesti popular. Kalau tak popular, kita tak mendapat sokongan maka kita tak dapat naik ke atas. Maka, kita buat kerja-kerja kempen contohnya dalam siri pemilihan ini, untuk mempopularkan diri supaya kita dipilih menjadi pemimpin.Bila kita dah jadi pemimpin, kalau kita memimpin mengikut populariti maka kita sentiasa akan membuat keputusan untuk popular sahaja dan tidak semestinya membuat keputusan-keputusan yang terbaik untuk rakyat.

Sebab itu saya berpendapat, pemimpin yang dapat jawatan tidak boleh berlandaskan poulariti, kerana ianya akan dituntut membuat keputusan yang tidak popular...jadi kalau kita bukan pemimpin yang berwibawa, tidak ada kemampuan intelek dan gagal menggunakan kemahiran untuk menyakinkan orang mengenai kenapa kita perlu ikut jalan A bukan B maka kita akan gagal jadi pemimpin kerana kita akan sentiasa membuat keputusan hanya keputusan yang popular sahaja, dan inilah yang menjadi kelemahan, juga masalah mengenai apa yang saya selalu sebut tentang mengurus kejayaan.

Bila berjaya sudah tentu ada banyak dugaan-dugaan dimana kita boleh terjerumus dalam pecah amanah dan memperkayakan diri, sebagainya.Pendirian saya mengenai perkara ini jelas dan kerap kali saya katakan, mengenai kepimpinan kita sekarang dan itu yang saya rasa amat kecewa kerana kepimpinan yang lemah mengakibatkan keruntuhan sokongan terhadap UMNO/BN.

Sekiranya tidak diatasi segera maka keruntuhan ini akan berlarutan dan tinggal sejarah sajalah, UMNO dah tak keramat lagilah...sekarang ini pun saya tak rasa UMNO ini 'keramat', semangat UMNO dah pudar dan walaupun orang bersemangat tapi kecewa...perasaan ahli UMNO kecewa... hati mereka jauh daripada kita walaupun mereka ahli kita...mereka tidak keluar dari jadi ahi parti tapi mereka tak ambil bahagian dalam program parti dan mesyuarat parti, sekarang pun kita boleh lihat banyak mesyuarat cawangan tidak cukup korum...kita banyak terima laporan mengenai mesyuarat yang dijalankan tanpa cukup korum, apa sebabnya tu, sebab ahli dah jauh hati pada UMNO.

AGENDADAILY : Semasa menang jawatan Exco Pemuda UMNO, ada pihak kaitkan dengan Tun, katanya Datuk menumpang nama Tun...sekarang Datuk sendiri kena mendapatkan sokongan akar umbi, ianya agak sukar...bagaimana Datuk nak menang Ketua Pemuda.

MUKHRIZ : Saya nak balik ke 'basic'...balik pada asas, iaitu kita mesti sedia berkorban kerana tanpa pengorbanan maka kita tak boleh panggil apa yang kita usahakan ini sebagai perjuangan, maksud saya menyelesakan diri dengan ahli-ahli di peringkat akar umbi dan di situlah terletaknya sokongan terhadap saya, dan di peringkat yang lebih tinggi juga ada ahli yang boleh beri sokongan tapi kurang...tak kisah sangatlah, namun sistem kuota dalam pemilihan agak menyusahkan perjalanan kempen saya, tapi saya masih menaruh harapan dan percaya kepada kekuatan UMNO itu yang terletak di akar umbi.

Bagi saya, pemimpin yang lupa akan hal ini akan ditolak oleh ahli-ahli kita. Lebih-lebih lagi kalau sistem kuota kita dapat hapuskan.

AGENDADAILY : Sejauhmana keyakinan Datuk untuk mendapat peluang sokongan kali ini?

MUKHRIZ : Saya banyak bertanya kawan-kawan mengenai perkara ini, saya tanya kalau disuruh pilih antara perjuangan dan wang ringgit yang mana akan dipilih oleh pemuda hari ini...Ada juga yang kata wang ringgit, kerana walaupun seorang ahliUMNO itu seorang pejuang parti tetapi keadaan sekarang ini, ekonomi kita yang lembap nak cari makan susah masing-masing nak jaga periuk nasi...nak hantar anak ke sekolah, saya fahamlah keadaan mereka, jadi ianya memerlukan satu komitmen yang begitu tinggi untuk dia memilih perjuangan dan bukan wang ringgit.

Saya lihat ini sebagai satu cabaran yang besar...bagi saya, untuk menyakinkan mereka dengan perjuangan itu akhirnya akan membawa kepada kesenangan tetapi akan makan masa sikit, contohnya kita nak berjuang untuk meningkatkan ekonomi orang Melayu, mereka di bawah tak nampak sebagai satu perkara yang akan berlaku dalam masa yang terdekat ini. Jadi dah tentu ianya perlu diyakinkan dan tentunya memakan masa satu atau dua tahun sebelum dilihat faedah...daripada itu jadi susah jugaklah kita nak dapatkan orang untuk yakin dengan apa yang saya perkatakan ini tetapi pada yang sama saya melihat ada juga yang walaupun dalam susah dia masih berpegang pada perjuangan parti.

AGENDADAILY : Datuk isytihar, kalau menang Ketua Pemuda, tidak mahu pegang jawatan dalam kerajaan, apakah Datuk sedar bahawa kalangan pemimpin-pemimpin Pemuda di semua peringkat memerlukan sokongan dan dana untuk mengimarahkan Pemuda peringkat bahagian, cawangan dan sebagainya, jadi adakah Datuk sudah bersedia dengan dana yang besar untuk dicurahkan kepada mereka atau Datuk sudah sedia nak bagi sesuatu pada mereka?

MUKHRIZ : Saya faham perkara itu...berbalik kepada kenapa saya tak nak jawatan dalam kerajaan, sebab saya melihat tanggungjawab Ketua Pemuda daripada sekaranglah memerlukan kerja sepenuh masa, bukannya 'part time'...kena ada penumpuan sepenuhnya, tak boleh buat benda-benda lain dan anggap kerja Ketua Pemuda ini sambilan sahaja, kalau dianggap sambilan maka kita tak akan menang pilihan raya akan datang.

Pada waktu yang sama saya faham bahawa untuk aktiviti Pemuda, ianya memerlukan dana, perlu ada peruntukkan dan sebagainya.

Jadi kita nak memperkasakan Pemuda tapi janganlah dengan cara menggunakan jawatan kita dalam kerajaan mendapat 'budget' daripada kementerian dan sebagainya untuk membantu dengan cara menghulurkan bantuan.

Kalau boleh kita nak bagi pancing bukan bagi ikan, itu yang selalu kita sebut tapi kekadang tidak diamalkan juga.

Rata-rata saya jumpa Pemuda juga merasakan mereka tidak suka sangat diberikan duit kerana mereka mahu Pemuda diperkasakan agar mereka dapat jaga cawangan dan bahagian masing-masing.

Pemimpin peringkat cawangan dan bahagian ini perlu diperkasakan, sekiranya mereka boleh buat, sudah tentu mereka tidak akan ganggu dengan macam-macam permintaan. Tapi bila keadaan mereka sendiri teruk, tak dapat membantu ahli-ahli dan yang keduanya orang memandangnya lekeh,...ketua kita ni tak dapat urus diri dia dengan baik...macamana kita nak tengok seseorang itu jadi seorang pemimpin yang berkesan.

Kita kena perkasakan seseorang pemimpin itu dengan memberi kemudahan untuk tingkatkan diri sendiri, barulah pemimpin itu ada kewibawaan jadi pemimpin...ini saya ingat penting.
Saya tahu kadang-kadang jawatan-jawatan kerajaan itu direbut-rebut kerana kepentingan politik...siapa tidak terpesona melihat 'budget' kerajaan yang sudah mencecah berbilion ringgit bukan kecil...sebahagian daripada itu kekadang ada unsur politiknya, saya tahu ini amalan kita tapi saya ingat ianya bukan amalan yang boleh kita teruskan sampai bila-bila kerana ini pun sedikit sebanyak satu amalan yang tidak amanah.

AGENDADAILY : Datuk sedar tak, bahawa ada dikalangan pemimpin pemuda, Ketua Pemuda Bahagian, Ketua Pemuda di peringkat Exco sendiri yang berkarier, mereka ada pendapatan, ada yang jadi konsultan, lawyer, mereka ada syarikat yang boleh tampung kehidupan mereka tapi untuk membelanjakan wang ringgit dari hasil titik peluhnya untuk kepentingan parti, nak buat program untuk parti...mereka rasa berat untuk mengeluarkan wang ringgit dari poket sendiri...mereka masih mengharapkan kerajaan memberikan projek dan mendapat sedikit keuntungan barulah boleh belanja untuk parti, itupun sedikit saja, begitu juga di peringkat pemimpin akar umbi yang mana jadi kontraktor kelas 'F"e; tapi satu projek pun tak dapat...macamana Datuk nak selesaikan masalah ini, saya bimbang Datuk tak nak jawatan dan dianggap retorik semata-mata...macamana Datuk nak bagi harapan kepada pemimpin-pemimpin di bawah?

MUKHRIZ : Contohnya diperingkat yang paling bawah, Pemuda cawangan di kawasan saya sendiri di Jerlun ramai juga yang menganggur, buat niaga kecil-kecilan, makan gaji pun tak cukup nak menyara hidup, masih tinggal dengan mak bapak, tak ada rumah sendiri, tak boleh nak kahwin.

Apa kata kalau kita perkasakan mereka, contohnya di kawasan saya sendiri tanah pertanian...kita cari satu projek pertanian yang boleh meningkatkan pendapatan dan dengan cara itu kita memperkasakan kedudukan politik mereka sendiri, dengan cara begitu mereka bukan saja memperoleh pendapatan dan boleh belanja beli bola, beli jersey untuk ahli-ahli di peringkat cawangan tapi menonjolkan diri kepada ahli-ahli sebagai seorang contoh usahawan kecil yang berjaya.Saya yakin dapat membantu seramai orang yang boleh, saya sekarang ini sedang mencari program pertanian yang sesuai untuk orang muda.

Di Kedah, kalau ikutkan pertanian banyaklah projek kecil-kecilan yang saya nampak kebanyakkannya berjaya tapi ada pulangan yang kecil dan ada pulangan yang besar.Kita akan cari yang sesuai, contohnya ada yang mengusahakan kulat, ikan Keli dalam tangki plastik besar, tanam cili, jadi ini membuka peluang kepada kita untuk mencari benda-benda yang boleh kita lakukan untuk membantu sedikit sebanyak tingkatkan lagi pendapatan.Mungkin kalangan ahli Pemuda yang dah ada kerja tapi ada lagi kerja sampingan yang boleh bantu. Saya sendiri pun berniaga.

Jadi ini permulaan, saya sendiri pun berniaga jadi saya tahu betapa susahnya, bila kita berniaga, bila kita untung pun nak belanja untuk politik...saya rasa syarikat saya sendiri pun tak faham kenapa saya kena belanja gaji saya untuk orang lain, tapi itu memang politik kita kena gerak, kita kena jumpa orang kadang-kadang ada majlis, jadi majlis ni pun makan belanja tapi ini sebahagian daripada politik, jadi mahu tak mahu terpaksa juga buat.

Tapi kita nak cari di tahap mana...kalau kita dah melewati tahap, ianya jadi keterlaluan...dah bertukar daripada belanja biasa-biasa ke rasuah politik. Itulah yang nak kita faham dan sentiasa ingatkan diri jangan melewati garisan.

AGENDADAILY : Datuk ada makenisme untuk memperkasakan Pemuda di peringkat bawah?

MUKHRIZ : Perkara itu sedang saya usahakan, sekarang ini saya mencari bagaimana untuk memperkasakan pemuda di peringkat terbawah.

AGENDADAILY : Banyak isu yang melibatkan Datuk, dari soal isu ucapan Presiden, memihak kepada Tun dalam krisis dengan Pak Lah dan percaturan politik dengan Khairy yang dianggap sesetengah pihak sebagai perang dingin. Isu surat minta PM letak jawatan adalah antara isu penting tetapi ini tidak dapat mencalarkan kedudukan Datuk sebagai Exco Pemuda malah diberi mandat pula oleh pucuk pimpinan untuk bertanding menjadi calon di Jerlun. Apakah ini satu kejayaan buat Datuk atau Datuk lihat apa yang sedang berlaku?

MUKHRIZ : Ada sedikit sejarah yang sepatutnya saya jawab dalam persoalan ini, berkait jugalah.

Masa saya bertanding 2004 dulu, saya diberi syarat oleh ramai kawan-kawan dalam Pemuda yang saya jumpa, mereka kata,...kita akan beri undi kepada kamu tapi buatlah kerja sebagai 'check and balance' dalam isu Pemuda, maksudnya saya kena bersuara dalam Pemuda tapi dalam masa yang singkat, setahun ataupun dua tahun yang pertama, saya mengikut arus tak bercakap, tak bersuara, ikut saja walaupun tak setuju tapi kerana kumpulan kita dan membuat satu ketetapan maka saya pun ikut.

Walaupun keputusan tersebut mungkin tak popular dan tak boleh diterima oleh ahli-ahli kita tapi saya tak bersuara. Jadi, lama kelamaan kawan-kawan saya sendiri tak bercakap dengan saya, mereka dah tak tegur sapa..jadi renggang...saya pun naik hairan kenapa ni lain macam saja kawan-kawan ni....bila ditanya balik...tiba-tiba kawan-kawan kata,...kau pun dua kali lima juga, dah masuk dalam Pemuda tak ada bercakap apa-apa pun, sudah tahu masalah golongan muda Melayu macam ini pun tak bersuara...dulu bukan main lagi beria-ia sangat nak bertanding konon nak bawa suara orang muda, orang profesional dalam Pemuda tapi sekarang ini tutup mulut macam kena tarik hidung pula.

Jadi saya tersentak dan tersedar bahawa rupanya saya ikut arus saja tak lawan arus tak jadi 'check and balance' apa yang saya janjikan dulu. Sejak itu saya mula buat pendirian semula, saya kena ikhlas dalam jawatan ini dan jangan fikir sangat popular ke tak popular, menentang ataupun berbeza pendapat dengan pemimpin.

Saya kena bercakap apa yang terbuku di hati bermula dengan isu pembatalan jambatan bengkok ke Singapura, saya bercakap di Kulai atas undangan Pemuda UMNO Kulai, dari situ saya bermula dengan pendekatan baru yang sepatutnya saya buat daripada dulu.

Saya akan terus berperanan begini, saya mendapat maklum balas bahawa ramai ahli UMNO dan bukan ahli mula menghargai usaha dan cara ini, mereka mula melihat saya benar-benar mewakili suara mereka. Walaupun saya lantang bersuara dan kadang-kadang kelihatan menentang keputusan kepimpinan kita tapi tiada tindakan yang diambil terhadap saya dan saya juga bernasib baik kerana diberi peluang bertanding atas tiket BN di Jerlun dan menang. Ianya menjadi dorongan kepada saya untuk teruskan usaha menyuarakan kehendak golongan muda dan memberi teguran, saya juga syorkan pada orang lain untuk tidak takut bercakap apa yang benar.

Tidak takut untuk berkata benar akan menghindarkan diri kita dari sebarang tindakan yang boleh dilihat tak adil pada kita. Saya mengkritik kepimpinan kerana proses mengkritik tidak salah, dalam era serba terbuka dan kita amalkan keterbukaan.

Keterbukaan itu bermaksud kita boleh kritik orang dan kita juga mesti terbuka untuk menerima kritikan. Takkan kita tidak boleh dikritik, apakah kita tidak boleh lalui proses kritik diri kita sendiri, kritik parti kita sendiri, kritik kepimpinan kita sendiri...itu tak betul, itu tak adil. Kelantangan saya bercakap tidak ada udang di sebalik batu.

AGENDADAILY : apabila Datuk bersuara, mengkritik dan menegur, sesetengah pihak anggap Datuk kurang ajar pada pucuk pimpinan, mulut celupar dan tidak ada kesopanan dan berbagai lagi, tapi Datuk masih diterima, apakah Datuk rasa generasi muda hari ini perlu bersikap macam Datuk?

MUKHRIZ : Saya akui ada juga kelemahan-kelemahan saya sendiri, saya tak boleh kata apa yang saya buat semuanya betul, ada juga yang tak betul.

Saya belajar dari pengalaman, bagaimanapun untuk satu bangsa itu berjaya, sebagaimana UMNO yang mewakili bangsa Melayu maka UMNO mesti tunjuk teladan yang baik.Kita kena amalkan nilai-nilai murni yang menunjukkan ketamaddunan kita yang baik. Agama dan bangsa kita mengajar, antaranya jujur, amanah, kerja gigih, menepati masa, bersopan dan sebagainya.
Kita ambil satu perkara saja sebagai contoh, sopan, '...budak ni tak sopan...', jadi kita tolak dia, bukan itu saja yang kita kena pegang, untuk satu bangsa itu berjaya, dia banyak perkara yang perlu diambilkira, kalau orang Melayu hanya dinilai dari sudut sopan saja, macamana dengan sikap rendah diri, tak buat kerja, malas dan macam-macam lagi peribadi tak baik orang Melayu...kemana kita, apakah kita akan terkenal sebagai orang yang begitu sopan saja tapi tak berjaya.

Orang mungkin menuduh saya kurang ajar, biadap dan sebagainya tetapi apa yang saya bangkitkan itu menyentuh mengenai nilai-nilai murni lain yang kita tak amalkan, perkara yang membawa binasa pada kita...apa kita nak buat sekarang, adakah kita nak teruskan dengan kesopanan kita itu dan pada masa sama kita juga binasa, itu pun tak guna juga.

Saya terus berfikir apa yang saya katakan sebelum ini pun mengikut kesopanan dan cara yang terhormat, kerana kalau saya menegur orang tua pun. Tetapi dalam teguran saya terhadap PM, saya kata...tak ada benda baru yang PM cakap dalam ucapannya, masa itu saya rasa mungkin tersilaplah saya guna ayat macam itu kerana mungkin ada cara yang lebih elok untuk saya sampaikan masej itu tapi saya tak tarik balik sebab mesej yang saya maksudkan itu orang faham, sebab itulah saya cuma mohon maaf kerana menyinggung perasaan PM tapi saya percaya apa yang saya kata itu memang betul saya tak akan kata sebarangan saja.

Penting bagi kita faham bahawa pada masa terima kritikan, orang akan kata kita macam-macam tapi asalkan kita percaya untuk satu-satu bangsa itu berjaya, kita kena memenuhi ciri-ciri baru. Jadi kalau kita faham keadaan itu saya percaya akhirnya kita berjaya.

AGENDADAILY : Adakah Datuk bersedia untuk jadi seorang pemimpin muda yang bersifat kritikal atau bermulut 'celupar' tapi sopan atau golongan yang mungkin akan ganyang Datuk dengan kata-kata kritik pedas, Datuk sedia dengan golongan ini?

MUKHRIZ : Itu dah memang sebahagian daripada cabaran yang akan saya tempuhi dan saya jenis orang yang banyak sabar dan saya ingat ramai orang tahu, kalau saya tak bersedia dengan cabaran seumpama ini saya tidak akan tawarkan diri.Saya sebut tadi yang saya memang jenis orang yang sabar, yang keduanya saya tak mudah kecewa, maksudnya dalam kekalahan pun, saya tahu selama ini ada hikmah dan memang betul selama ini memang tak pernah ada lagi benda yang mengecewakan saya dan tak ada hikmah sebaliknya termasuklah kekalahan saya di Kubang Pasu dan sebagainya.

Saya juga jenis orang yang tak simpan dendam, kalau saya marah dengan seseorang, sekejap saja, esok atau dua tiga hari saja, kita ingat tapi kita dah maafkan, jadi itu membantu saya dalam berhadapan dengan orang yang tak sefahamam dengan saya atau pun tak setuju dengan saya.
Walau apa pun cara mereka sampaikan ketidaksetujuan pada saya, contohnya di pilihan raya kecil Permatang Pauh, ada golongan yang maki hamun saya dan ada juga dipihak pembangkang yang hormat kepada saya.

Menariknya di situ, mak cik-mak cik yang pakai baju PKR datang jumpa saya nak ambil gambar, itu saya rasa sebagai petanda yang mereka boleh terima pendekatan saya dan tak lihat saya sebagai ancaman. Jadi untuk kita mendekati mana-mana pihak, yang paling utama sekali, kita kena pastikan dia boleh terima kita sebagai orang yang setaraf dengan dia dan tidak nampak kita sebagai orang yang akan menekan atau mengancam kedudukannya, saya rasa ada karektor itu.

AGENDADAILY : Datuk menawarkan diri untuk jadi pemimpin Pemuda, Pemuda yang macamana yang Datuk nak pimpin?

MUKHRIZ : Semua jenis pemuda, sekarang ini kita ada pelbagai macam jenis pemuda. Dalam Pemuda itu sendiri ada yang dah mewah kedudukannya, kuat oleh kerana usaha dia sendiri dan ada yang masih menghadapi paling asas macam kais pagi makan pagi...maksudnya kita kena cuba memimpin semua jenis pemuda.

Mencari satu perkara yang boleh menyatukan kita semua dan perkara itu ialah perjuangan kita yang asal walaupun ianya retorik tapi saya nak cuba menterjermahkan retorik itu kepada satu perkara yang realiti kepada kita iaitu untuk menegakkan syiar Islam, memartabatkan bangsa Melayu dan memajukan negara kita.

Itu yang kita nak buat dan kita nak bagi mereka faham apa yang dimaksudkan dengan Al-Fatah kita ni, apa yang dimaksudkan sebenar-benarnya.

Bila kita faham itu semua, maka senang untuk buat keputusan, isu-isu yang berbangkit kita kena rujuk semula kepada perjuangan. Apa yang tak kena, kita tolak, apa yang kena kita perjuangkan.

Apa yang perlu difahami semua pihak adalah sesuatu yang kita perjuangkan dan mempertahankan hak orang Melayu itu akan menidakkan hak kaum lain di negara ini.Saya kira dalam UMNO mahupun dalam BN kita tak pernah abaikan persefahaman itu.

Walaupun sekarang ini UMNO dilempar berbagai tohmahan, namun saya lihat sejarah orang Melayu yang memperjuangkan hak kaumnya tidak pernah sekali-kali bersikap menolak hak kaum lain.

AGENDADAILY : Satu persoalan yang tertinggal, soal tidak mahu jawatan dalam kerajaan, saya teringat ada pandangan yang mengatakan Datuk berbuat demikian kerana sudah mengaut kekayaan dan keuntungan besar semasa Tun memerintah dulu dan ada yang melihat Datuk menampakkan mewahnya Datuk?

MUKHRIZ : Itu satu 'point' yang penting. Apa yang hendak ditunjukkan di sini ialah bahawa kita tak berpolitik kerana kita nak memperkayakan diri sebab orang yang amalkan rasuah politik ini dia sanggup membeli undi tapi bila dah dapat jawatan itu dan tentu dia kena ada pulangan, kononnya pelaburan.

Dan ini adalah pulangannya, mestilah lebih besar dan tak tahulah berapa kali ganda. Bila dah dapat pulangan itu sekali lagi dia akan amalkan rasuah politik ini untuk mendapatkan jawatan yang lebih tinggi maka perkara itu tidak ada kesudahannya.

Ianya akan berpusing-pusing di situ juga. Bagi saya adalah orang yang berniaga sebelum terlibat secara aktif dalam politik. Kalau saya nak cari makan dalam politik tak payahlah masuk politik buat saja macamana yang saya pernah buat dulu…InsyaAllah, saya boleh cari makan.

Saya orang yang sudah berniaga kemudian masuk politik, pendekatan saya amat bebeza dengan orang-orang yang mengamalkan rasuah politik kerana saya secara jelas menunjukkan bahawa saya bukanlah orang yang menggunakan politik untuk memperkayakan diri.

Kalau nak kayakan diri, baik tak payah masuk politik sebab dalam politik ini kita belanja banyak sebenarnya. Bukan belanja nak beli orang…nak beli undi, nak pengaruh orang tapi dah memang macam itu caranya dalam politik.

Semua pihak dalam politik adalah serupa, jangan ada pihak nak tuduh kita yang bukan-bukan kononnya dia tak buat, dia pun macam itu juga sebab dia nak adakan majlis, dia nak berjumpa dengan penyokongnya, nak jumpa dengan rakyat, kena belanja…itu yang utamanya.

Saya berniaga bukannnya agen kepada orang atau lebih jelas, bukannya ambil komisyen. Semasa awal-awal dulu, masa saya mula berniaga ada juga orang yang kononnya beri nasihat kepada saya, buat apa susah payah nak buka kilang, nak berniaga…kalau jadi agen dan ambil komisyen pun tak susah, tak penat buat kerja tapi itu bukan cara saya dibesarkan.

Minat saya dalam industri pembuatan kerana dari kecil lagi, bila saya ikut mak bapak saya pergi bercuti, you kena tahu definasi cuti bagi ayah saya ialah melawat kilang.

Dari umur saya sepuluh tahun, saya pernah pergi tengok kilang kereta Toyota, tengok orang buat kereta dan itu satu pendedahan yang cukup baik, saya ingat itu antara rezeki dan nasib baik saya kerana ayah saya macam itu orangnya dari kecil lagi saya dah disuntik dengan satu semangat untuk ceburkan diri dalam industri pembuatan.

Oleh sebab itu saya usahakan sendiri buat kilang pada tahun 1994 lagi, saya buka kilang 'fibre optic' hingga sekarang ini masih buat benda yang sama dan saya rasa bertuah kerana saya dapat menyumbang secara langsung dalam menaiktarafkan gelombang jalur lebar di Malaysia dan negara punyai 'broadband'. Kita ada internet, sesiapa pun yang menggunakan internet dah tentu dia akan melalui saya punya 'fibre optic cable', itu sumbangan saya.

Sebab kita berniaga dah tentu kita ada keuntungan, jadi dari keuntungan itulah yang memberi saya sedikit kemewahan dan itu nikmat yang saya dapat dari negara kita yang membangun yang memang menuju ke arah nak menjadi negara yang 'knowledge base' dan sebagainya, daripada gagasan itu saya dapat manfaatnya kerana saya ada kilang buat 'optic cable' jual pada Telekom Malaysia dan saya dapat untung daripada itu.

Tapi bila saya dapat nikmatnya, saya rasa kena pulangkan balik apa yang saya dapat kepada masyarakat dan itu saya lakukan melalui politik dan saya pun ada banyak pengalaman, pengetahuan yang boleh saya gunakan untuk membantu walaupun saya akui jauh lebih ramai lagi orang yang lebih pandai daripada saya.

Tapi ada juga, tak kurang ramai orang yang mungkin boleh dapat manfaat dan faedah daripada pengalaman saya. Jadi, saya ingat tak salah kalau saya boleh membantu mereka, itu jugalah yang mendorong saya ke dalam politik.

AGENDADAILY : Datuk, persepsi orang kata, ahli perniagaan masuk politik berbeza sikit dengan orang poitik yang memang aktif politik dari bawah. Orang berniaga masuk politik untuk buat keuntungan jadi kedekut tetapi orang politik yang buat keuntungan tidak kedekut kerana faham masalah politik, boleh Datuk ulas?

MUKHRIZ : Tak semestinya begitu, ramai juga orang yang berjaya masuk politik kerana benar-benar mahu berkhidmat. Kita pun boleh fikir siapakah di antara tokoh-tokoh kita yang macam itu, walaupun saya akui ada juga mungkin sebilangan tertentu yang berniaga masuk politik dan masih nak berniaga juga.

Maksud saya, orang yang berniaga masuk politik ini tak semesti jenis orang yang kedekut, dan orang yang berpolitik untuk berniaga itu tak semuanya yang pemurah. Saya tak bersetujulah dengan orang-orang yang semacam ini, cara dia macam ni, orangnya macam ni, masing-masing ada cara.

Tapi berbezanya dari dulu dengan sekarang, kini ada golongan Melayu muda kelas menengah, ada profesional, ada yang berniaga dan berjaya.

Tahap pendidikan mereka ini tinggi berbanding dengan mak bapak mereka atau dengan orang kampung, mereka juga nak bernaung di bawah UMNO. Dan sudah tentu mereka mahu seorang pemimpin yang boleh dihormati dan mengadu hal bagi menyelesaikan permasalahan.
Saya tak mahu memperkecilkan khidmat atau pun kemampuan guru-guru yang dulunya merupakan sebilangan besar anggota kepimpinan dalam UMNO, guru-guru ini memberi pendidikan yang terbaik untuk anak-anak muda kita dan anak-anak muda jadi berjaya, jadi profesional dan jadi CEO syarikat dan sebagainya.

Namun kini adakah CEO ini masih mahukan guru-guru menjadi pemimpinnya. Sudah tentu mereka mahu lihat orang yang lebih berjaya daripada mereka bagi menunjukkan contoh yang terbaik dan boleh diikuti.

Perkembangan arus zaman sudah tentu berbeza dengan dulu, bukan salah sesiapa malah ini satu perkembangan yang baik, sebab itu saya suka pemimpin-pemimpin akar umbi itu naik pada waktu yang sama saya nak melihat kalau boleh ahli-ahli profesional menceburkan diri dalam politik dengan syarat mereka faham apa masalah akar umbi, jangan dia berlegar-legar saja dekat Kuala Lumpur, lepas itu bila ada pendirian politik mereka buat sesuatu yang tidak langsung kena mengena dengan peringkat akar umbi.

AGENDADAILY : Datuk mungkin akan bertembung dengan Khairy dalam merebut jawatan dalam UMNO, bagaimana?

MUKHRIZ : Mungkin, tak kisah, akan segarlah amalan demokrasi dalam UMNO, dalam parti kita pertandingan itu satu kebiasaan.

Saya amat-amat mengalu-alukan. Peluang untuk bertanding dengan beliau kerana kita nak tunjukkan perbezaan antara kita berdua dari segi peningkatan, philosophy dan perjuangan politik kita kemudian kita serahkan bulat-bulat kepada perwakilan untuk menentukan masa depan.

AGENDADAILY : Datuk ada sebut nak tunjukkan perbezaan, perbezaan apa yang Datuk maksudkan, boleh jelaskan?

MUKHRIZ : Saya anak bekas Perdana Menteri, ayah saya menjawat jawatan itu selama 22 tahun dan tidak sesekalipun kami terlibat secara aktif dalam politik UMNO terutama sekali dalam kerajaan dan memberi satu kesedaran kepada saya walaupun waktu itu saya tak senang dengan pendirian bapak saya.

Tapi sekarang saya tahu di mana hikmahnya dan ianya adalah perbezaan yang ketara dalam kepimpinan sekarang, amalan yang dilihat sebagai nepotisma. Ianya dianggap semacam diterima dan menjadi kebiasaan, walhal kita tahu ianya akan menimbulkan macam-macam masalah, contohnya, satu isu berbangkit yang dianggap penting dan kepentingan keluarga mungkin bercanggah dengan kepentingan rakyat.

Dalam soal ini apa pemimpin itu akan buat, kita nak tahu dalam keadaan kepentingan keluarga dan kepentingan rakyat, adakah pemimpin ini akan sentiasa berpihak kepada rakyat ataupun memihak kepada keluarga.

Atas soal itulah sebabnya bapa saya tak boleh ada kaum keluarganya dalam kerajaan mahupun pegang jawatan tinggi dalam parti, kerana beliau tak mahu rosakkan hubungan keluarga. Sebab ayah saya tahu kalau berdepan dengan soal yang sama iaitu pilih antara rakyat dan keluarga, dah tentu beliau memilih rakyat.

Jadi macamana beliau nak mengurus hubungan antara keluarga sekiranya beliau selalu bersikap memihak pada rakyat.

Suka saya nak beritahu sebenarnya ada dua tiga orang ahli keluarga sebelah ayah sehingga sekarang masih renggang, hubungan dengan ayah saya tak berapa baik…itulah kesannya.
Kerana soal minta bantuan, minta tolong…tak dapat dan sebagainya. Sebab ayah saya tak boleh nak bantu keluarga sendiri, sampai ke peringkat hubungan keluarga renggang. Saya pun kadang-kadang sedih juga tengok keadaan macam itu tapi akhirnya saya faham kenapa beliau bertindak begitu.

Bagi saya, abang-abang dan kakak saya, ayah saya akan marah 'direct', kalau beliau kata tak boleh…tak bolehlah. Kita pun hampa juga tapi sekarang ni saya dah faham.

AGENDADAILY : Jadi soalan kalau Khairy bertanding, Datuk bersedia dan mengharapkan adanya pertandingan, ianya sedikit sebanyak akan menimbulkan calar mencalar, Datuk boleh terima tak keadaan ini?

MUKHRIZ : Dalam pertandingan ini seelok-eloknya kita 'gentlemen', maksudnya kita bertanding berasaskan pendirian kita mengenai sesuatu isu, pendekatan, prinsip yang kita pegang, manifesto kalau ada perbezaan dan sebagainya, tak payahlah bangkitkan isu-isu yang bersifat keperibadian dan sebagainya.

Kalau itulah yang kita amalkan, InsyaAllah, yang menang itu tak menang semua, yang kalah pun tak kalah semua, kita tak mahulah siapa yang kalah nanti akan menjauhkan diri dengan sendirinya atapun dipinggirkan oleh yang menang. Kalau itulah yang kita amalkan InsyaAllah, kita tidak akan ada perpecahan dalam parti dan perpaduan tetap utuh bersatu selepas pemilihan.

AGENDADAILY : Itu kalau Khairy bertanding, kalau beliau tak bertanding, beliau mempertahankan jawatan Naib Ketua, adakah Datuk boleh bekerjasama dengan beliau dalam suasana ini.

MUKHRIZ : Dah tentu saya lihat akan ada banyak perbezaan pendapat dan jikalau Naib Ketua Pemuda setuju dan mengiktirafkan bahawa Ketua Pemuda adalah 'bos'nya dan beliau mesti akur dengan ketetapan Ketua Pemuda atau 'bos'nya.

Tapi saya lihat sendiri sekarang ini pun Khairy mempunyai pendiriannya sendiri yang kadang-kadang kita persoalkan dan saya tak lihat beliau boleh tukar 'stail', sekiranya beliau nak kekal sebagai Naib Ketua, yang membimbangkan saya macamana nak kerjasama kerana saya lihat Naib Ketua seharusnya membantu menjayakan cita-cita Ketua Pemuda.

Contohnya, pendekatan yang kita ambil semasa pilihan raya kecil Permatang Pauh, bagi saya memang silap, kerana kita masih amalkan apa yang kita buat di Ijok, Macap dan sebagainya.Ketika itu kita berdepan dengan Anwar Ibrahim dan kita tahu pengundi-pengundinya cenderung ke arah itu, kita sepatutnya sebagai 'underdog' tapi kita tak bergerak macam 'underdog'…kita bergerak dan berlagak seperti pemerintah walaupun negeri itu pun kita dah kalah. Jadi dalam keadaan itu, sepatutnya kita sebagai orang yang merayu, orang yang cuba menarik simpati orang tetapi apa yang kita lakukan sebaliknya.

Parti memerintah di situ yang meraih simpati, jadi terbalik…suasana yang kita buat memberi kekuatan pada musuh…saya lihat daripada awal lagi kita dah tersasar daripada objektif dan kita tak akan menang tapi saya masih berharap majoriti Anwar Ibrahim itu boleh dikurangkan tapi itu pun tak berlaku.

AGENDADAILY : Adakah ini bermakna bahawa sukar untuk bekerjasama dengan Khairy sekiranya dia masih mempertahankan jawatannya?

MUKHRIZ : Saya rasa sukar, saya boleh 'adjust' tapi tak tentu Khairy boleh 'adjust' ikut 'stail' saya. Kita dah tahu 'stail'nya macamana.Saya dapat rasakan beliau tak boleh terima saya sebagai Ketua Pemuda tapi pada pandangan saya, beliau akan tetap bertanding jawatan Ketua Pemuda dan tak mungkin mempertahankan jawatan Naib.

AGENDADAILY : Tapi adakah Datuk akan 'implement'kan prinsip Pemuda UMNO sebagai sayap yang menegur atau mendesak bagi merealisasikan hasrat kewujudan Pemuda UMNO yang dilihat gagal dilaksanakan?

MUKHRIZ : Kita kena faham di mana gagalnya. Pandangan saya, gagalnya Pemuda UMNO sekarang kerana kita tidak benar-benar menghayati dan memahami apa 'sentiment' orang muda di bawah ataupun kita faham tetapi kita tak tidak sampaikan kepada pemimpin di atas ataupun kita dah sampaikan tapi pemimpin kita tak terima.

Apapun alasan, kaedah pendekatan yang digunakan dari atas memang tak kena dengan orang bawah dan cara itu ditolak. Pilihan raya Permatang Pauh telah jelas tunjukkan orang muda paling banyak menolak BN. Pendekatan yang akan saya ambil sekiranya diberi mandate ialah memahami sentiment pemuda dengan mengatasi masalah mereka.

Kita perlu sampaikan permasalahan mereka hingga ke atas dan sekiranya pihak atasan tak mahu terima rasionalnya barulah kita buat kerja mendesak. Kita desak sampai diterima kerana kita dipertanggungjawabkan untuk menyelesaikan kehendak dan masalah golongan muda, kalau kita tak lakukan maka kita telah mengabaikan tanggungjawab ini dan akan menerima padahnya.
Pilihan raya nanti, ada dikalangan kita yang akan bertanding dan saya sendiri InsyaAllah, saya haraplah akan diberi peluang sekali lagi untuk bertanding, tapi kalau saya tak boleh selesaikan apa yang dipertanggungjawabkan pada saya, macamana saya nak teruskan mempertahankan kedudukan ini.

Pendirian Pemuda sekarang tidak seperti yang saya gambarkan dan pendirian kepimpinan kita juga telah dicerminkan oleh Naib Ketua sekarang kerana hubungan kekeluargaannya. Sebab itu tak pernah dengar Naib Ketua Pemuda mengkiritk Perdana Menteri atau dasar-dasar parti. Apa yang berlaku Pak Lah membuat sesuatu keputusan dan Naib Ketua Pemuda adalah antara yang paling lantang mempertahankannya. Walaupun ianya mungkin tak sepadan dengan apa yang berlaku di bawah.

Friday, October 24, 2008

[BERIKUT adalah salinan penuh kenyataan akhbar khas Majlis Raja-Raja yang dikeluarkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Engku Tan Sri Ibrahim Engku Ngah.]

“Kenyataan Akhbar Yang Dikeluarkan Oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Mengenai Peranan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong dan Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja Melayu berhubung dengan hak-hak keistimewaan, kedudukan, kemuliaan atau kebesaran Raja-raja Melayu, agama Islam, Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, kedudukan istimewa orang Melayu dan kepentingan sah kaum-kaum lain mengikut Perlembagan Persekutuan.

“Raja-raja Melayu yang menghadiri Mesyuarat Majlis Raja-Raja telah berunding mengeluarkan kenyataan akhbar khas bersama pada hari ini.“Raja-raja Melayu mempunyai peranan perlembagaan untuk melindungi keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Raja-raja Melayu, melindungi Agama Islam, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan kepentingan sah kaum-kaum lain di Malaysia.

“Tindakan pihak-pihak tertentu mempertikai dan mempersoalkan perkara-perkara tersebut yang menjadi asas utama pembentukan negara Malaysia dan termasuk dalam Perlembagaan Persekutuan telah menimbulkan kegusaran dan keresahan di kalangan rakyat. Sebagai tindakbalas, beberapa pihak terutama pemimpin-pemimpin Melayu sama ada yang berada dalam kerajaan atau pertubuhan bukan kerajaan dan orang perseorangan telah menyuarakan rasa tidak puas hati dan marah terhadap pihak yang membuat kenyataan dan laporan dan menganjurkan forum-forum berkenaan.

“Antara sebab-sebab yang dikenalpasti berlakunya perkara ini ialah kedangkalan pengetahuan pihak berkenaan terhadap latar belakang sejarah mengapa peruntukan-peruntukan tersebut dimaktubkan dalam Perlembangaan Persekutuan dan pengaruh prinsip-prinsip kesaksamaan dan keadilan yang cuba diimplikasikan di negara ini tanpa berjunjungkan latar belakang sejarah dan keadaan sosial negara ini. Kepentingan politik sempit juga merupakan penyebab berlakunya perkara ini.

“Gejala ini jika tidak ditangani dengan segera boleh menyebabkan negara terjebak dalam kancah perpecahan dan persengketaan antara kaum yang boleh menjejaskan keharmonian dan keamanan yang selama ini telah membawa kemajuan, pembangunan dan kejayaan kepada negara.

“Justeru, adalah perlu Majlis Raja-Raja menegaskan dan memperingatkan semua pihak tentang peruntukan-peruntukan perlembagaan tersebut di samping memberi penekanan tentang jaminan perlindungan hak-hak sah kaum lain. Perlu ditegaskan bahawa setiap peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan telah melalui proses perbincangan, pertimbangan, konsultansi, pengorbanan dan sifat tolak ansur yang sangat tinggi nilainya bagi apa yang telah diperjuangkan, diperbincangkan, dipertimbangkan, dimanfaatkan serta dipersetujui oleh semua pihak yang terlibat, sehingga wujudnya peruntukan-peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang dikenali sebagai Kontrak Sosial.

"Kontrak Sosial ini tidak wajar dipertikai dan dipersoalkan lebih-lebih lagi disemak semula atau diubah kerana ia adalah merupakan asas utama pembentukan negara Malaysia. Untuk itu Raja-raja Melayu wajar memperingatkan supaya isu berkaitan Kontrak Sosial tidak sekali-kali cuba diuji dan dicabar.

“Sesungguhnya, angkatan pemimpin di era prakemerdekaan, berfikiran dalam - berpandangan jauh. Raja-raja Melayu telah dibawa bersama semasa rundingan menuntut kemerdekaan. Institusi raja dikekalkan dan dimaktubkan secara perundangan dalam Perlembagaan Malaysia Merdeka. Institusi raja diberikan kemuliaan, ditempatkan di puncak kerajaan, sebagai Ketua Negara dan Ketua Negeri, laksana payung pelindung, menjamin berlakunya kesaksamaan di kalangan warga. Institusi raja berperanan sebagai faktor penyemak dan pengimbang, untuk merungkai sebarang kekusutan, sekiranya berlaku.

“Raja-raja Melayu juga membuat seruan kepada orang Melayu supaya bersatu-padu untuk mempertahankan keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Raja-raja Melayu, melindungi agama Islam, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan kepentingan sah kaum-kaum lain di Malaysia seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Penekanan juga perlu dibuat bahawa agenda ini adalah lebih penting dan utama dari kepentingan politik atau kelompok.

“Kaum bukan Melayu tidak perlu merasa khuatir dan bimbang tentang hak-hak sah mereka kerana hak-hak tersebut telah dijamin mengikut Perlembagaan Persekutuan dan peruntukan-peruntukan yang terkandung dalam Undang-undang Tubuh Negeri-negeri di Malaysia yang termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

“Adalah diharapkan dengan penegasan tersebut, segala kekeliruan berhubung dengan perkara ini di kalangan rakyat jelata dapat dibendung dan suatu suasana yang harmoni, aman dan sikap saling hormat menghormati di kalangan rakyat dapat terus diwujudkan demi menjaga ketenteraman negara.”-- Bernama

Snippets

Among the first things Tun Dr Mahathir told the foreign media upon becoming Prime Minister 27 years ago was that in Malaysia, everyone had to be a bit unhappy. Should anyone be too happy, someone else would be too unhappy. Social stability as a function of equitable unhappiness was as brutally frank a diagnosis as he ever made. He declared himself a failure in his effort to change the“mindset” of the Malays, but what he could do, he did with a single-minded vengeance the like of which we are unlikely ever to see again.

Friday, October 3, 2008

,السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
03 Syawal 1429

Di hari yang mulia ini kita sama-sama menyambut Aidilfitri dengan penuh syukur dan keinsafan. Kegembiraan dan kelebihan yang kita peroleh haruslah dikongsi bersama-sama orang-orang yang kurang berkemampuan dan fakir miskin. Sesungguhnya pahala menggembirakan orang yang bersedih amatlah besar sekali. Sama-samalah kita cuba merasa kesempitan dan kesedihan mereka2 yang susah ini disamping membantu mereka keluar dari keperitan hidup yang mereka alami. Tiada yang lebih bermakna buat mereka cukuplah jika mereka dapat merasakan layanan dan feel Aidilfitri supaya mereka dapat lupakan sebentar kesusahan mereka.

Di hari yang mulia ini juga kita sama-samalah memohon kemaafan antara satu sama lain. Kemaafan mungkin amat berat untuk diberikan kepada orang yang pernah melukai hati kita. Tetapi hanya dengan memberi kemaafan sahajalah kita akan dapat mengubati hati yang telah terluka. Keikhlasan yang dipohon, keikhlasan jua diberi walaupun keikhlasan itu umpama seekor semut hitam yang duduk di atas batu yang hitam di malam yang amat kelam. Ianya wujud tapi amat sukar dilihat.

Di hari yang mulia ini saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan 'SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI, MAAF, ZAHIR & BATIN' kepada semua orang Islam di sini.